Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online - Sabtu, 22.3.97

Emile dikebumikan penuh adat tentera

TAIPING, Jumaat - Kepiluan menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Limau, Kamunting dekat sini apabila Jenazah Lt (U) Emile Effendy Sehu Ismail, 26, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Nuri Sikorsky S-61 terhempas di Sabah, Selasa lalu, dikebumikan dengan penuh istiadat tentera, hari ini sebelum solat Jumaat.

Jenazahnya tiba dengan helikopter dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dan mendarat di padang Sekolah Menengah Bukit Jana, Kamunting pada jam 10.45 pagi.

Pegawai kanan tentera, diketuai Ketua Staf Operasi TUDM, Mej Jen Datuk Abdul Malek Shahar Harun bersama Panglima Dua Briged, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Mansor dan lebih 500 pegawai tentera dan masyarakat Islam setempat hadir di situ untuk menyambut jenazahnya.

Keranda yang dilitupi bendera Malaysia itu terus dibawa ke rumah ibu bapanya di Jalan Kelah, Taman Lela Fasa Satu, Kamunting, kira-kira empat kilometer dari sekolah itu dengan kenderaan tentera.

Suasana pilu jelas terbayang pada wajah keluarganya terutama bapanya, Sehu Ismail Abdul Kadir, 54; ibunya, Jahara Mesran, 50; serta empat beradiknya termasuk Afira Alkis, 19, guru pelatih di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, Sabah, yang turut dibawa pulang oleh TUDM ke sini.

Jahara tidak dapat menahan air mata ketika menatap jenazah Allahyarham buat kali terakhir.

Dari rumah, jenazahnya dibawa ke surau taman perumahan itu untuk sembahyang jenazah kali kedua dengan Imam Masjid Changkat Larah, Kamunting, Shaari Fikri Bakri, mengetuai solat itu.

Dari situ, jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan dengan istiadat tentera bermula jam 11.30 pagi.

Upacara pengkebumian selesai setengah jam kemudian dengan bacaan talkin diketuai Azizi Tahir dari Kem Garison, Taiping.

Ibu reda pemergian Khairil

BANTING, Jumaat - Habsah Bajuri, 49, ibu Kapten Khairil Anuar Mohd Shamsuddin, 30, yang terkorban dalam nahas helikopter Nuri berhampiran Gunung Lumaku, Sipitang di Sabah menerima pemergian anaknya sebagai suratan takdir.

"Saya reda menerima takdir Allah.

"Saya reda anak kesayangan saya pergi buat selama-lamanya sebagai wira bangsa," katanya di sini, hari ini.

Menurut Habsah, pengesahan mengenai kematian anaknya diterima pada jam 3 petang semalam.

"Saya sekeluarga perlu menerima hakikat ini.

"Tiada apa yang perlu diterkilankan," katanya.